Seindah Takdir Cinta

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, berkat limpah kurniaNya masih diberi peluang untuk bernafas di bumi ini. Hari ini 13 Ramadhan 1438. Saya mengucapkan Selamat Berpuasa kepada pembaca semua. Memang agak lama tidak menaip sebab saya bukanlah seorang yang pandai dalam bidang penulisan. Sekadar ingin berkongsi cerita berkaitan penyakit yang pernah singgah dalam hidup saya 4 tahun lepas dan kehidupan saya selepas itu. Tapi tajuk post kali ini drama sangat kannnn…

 

Untuk makluman, semasa diagnosed menghidap Breast Cancer Stage 2, saya berumur 26 tahun. Masih bujang ketika itu. Tidak memikirkan soal jodoh kerana apa yang lebih penting pada masa itu adalah untuk muhasabah diri kerana tidak tahu apa akan jadi dengan kehidupan saya. Saya pernah terfikir, sekalipun bertemu jodoh, saya sangat bimbang andai dikurniakan anak, adakah anak saya akan mewarisi penyakit ini. Memang sangat sakit untuk difikirkan. Cuma saya lupa, itu semua kerja Allah SWT. Itu semua takdir. Saya memikir perkara yang di luar batas kawalan saya sebagai hambaNya.

 

Semakin saya melangkah meneruskan kehidupan, semakin saya yakin dengan diri sendiri. Jika dulu rasa rendah diri sangat menghantui diri ini. Alhamdulillah, Allah SWT membuka ruang jodoh untuk saya. Mengenali seorang insan yang bersedia menerima keadaan saya. Tanggal 25 Februari 2017 saya menamatkan zaman bujang bersama insan yang saya sayangi. Sebelum saya membuka hati untuk menerima dia, saya bercerita tentang sejarah kesihatan saya dan berulang-ulang saya bertanya kesediaan dia untuk menerima. Takdir Allah itu indah. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Allahuakbar.

 

Lalu saya teringat, semasa proses pendaftaran untuk masuk wad, seorang doktor bercerita dengan saya mengenai pesakitnya yang berkahwin dan mempunyai anak selepas menjalani kesemua rawatan. Pada waktu itu saya cuma tersenyum sebab kahwin bukan lagi menjadi matlamat saya pada waktu itu. Cuma bila dah kahwin ni teringat la balik. Huhu.. Saya nak throwback lagi, sewaktu berjumpa doktor onkologi untuk sesi pemeriksaan berkala pada tahun 2015:-

Doktor: Hai, awak sudah berkahwin ke?

Saya: Belum lagi doktor. Saya boleh kahwin ke? (padahal ketika itu sedang berkawan dengan si dia)

Doktor: Kenapa belum? Awak boleh kahwin (sambil tengok rekod kesihatan). Ok, awak sudah 3 tahun selesai kemoterapi. Should be ok. Takde problem.

Saya: Oooo.. *Senyum lebar je*

 

Lalu saya bertunang sehari sebelum menjalani bone scan (raya tahun 2016). Untuk makluman, selepas menjalani bone scan, kita tidak boleh dekat dengan orang-orang di sekeliling kita terutama bayi dan kanak-kanak kerana untuk ujian tersebut, kita telah diberi suntikan nuklear (maaf saya tidak ingat sangat proses untuk nuklear ini) yang hanya hilang selepas 24 jam (bila la saya nak bercerita tentang pengalaman bone scan). Mengambil risiko je saya ni.  Saya cuma duduk di bilik je untuk dikuarantinkan. Sedangkan banyak urusan perlu dilakukan. Huhu. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar sehingga ke majlis perkahwinan saya. Owh ya, saya request untuk buat bone scan selepas rasa sangat sakit di bahagian belakang (lower back). Alhamdulillah tiada apa yang buruk berlaku. Kesakitan itu hilang selepas saya pergi berurut.

 

Sebagai penutup, untuk berkahwin, sebagai manusia yang tidak sempurna ini saya memilih untuk tidak berahsia dengan pasangan berkaitan kesihatan kerana sekiranya saya berahsia saya tidak adil terhadap dia. Saya sangat bersyukur kerana dia menerima saya seadanya dengan baik. Thanks love! Dan kini saya sedang memikirkan menu apa nak dimasak untuk juadah buka puasa kami 😉

 

So, kepada cancer survivor di luar sana yakinkan diri untuk melangkah kehadapan. Just go with the flow ok! 🙂

 

Advertisements

Tahun Baru 2017

Assalamualaikum w.b.t

Selamat tahun baru semua! Post pertama untuk tahun ini. Semakin lama semakin tak aktif untuk mengarang di blog ini. Terima kasih kepada yang sudi menjengah blog ini.

Alhamdulillah, masih berespirasi, berkumuh secara semulajadi. Masih diberikan peluang untuk merasa nikmat sihat dan kehidupan. Pada 17 Januari 2017 (cantik tarikh ni), genapla 4 tahun saya survive sebagai pesakit breast cancer. Bila baca semula posting saya di sini, tidak banyak yang saya kongsikan. Rasanya ada beberapa pengalaman yang perlu saya kongsikan, contohnya pengalaman chemo brain, pengalaman menjalani ujian colonoscopy, pengalaman menjalani ujian ct scan, pengalaman menjalani ujian bone scan dan beberapa perkara lain lagi. InsyaAllah saya akan cuba kongsikan dengan anda semua sekiranya berkelapangan.

Sepanjang tahun 2016, banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan saya. Kalau berkaitan dengan penyakit saya, saya telah menjalani ujian ct scan dan juga bone scan. Iaitu tahun ketiga selepas diagnose BC. Saya akan kongsi persediaan dan pengalaman untuk menjalani kedua-dua ujian tersebut di entry yang lain. InsyaAllah.

Kepada mereka yang baru didiagnos cancer, didoakan supaya anda semua terus berusaha, terus positif dan laluinya dengan tenang. Saya syorkan kepada pesakit baru atau caretaker untuk join group di facebook https://www.facebook.com/groups/cancersurvivorsmalaysia/ . Banyak manfaat yang anda boleh perolehi menerusi group tersebut.

Akhir kata, didoakan semoga perkara yang baik-baik hadir dalam kehidupan kita semua.

xoxo

4 Disember 2012

Assalamualaikum WBT

Lama sungguh tidak menaip. Alhamdulillah, tarikh 4 Disember 2015 pada hari ini mengingatkan saya kepada tarikh saya didiagnos Kanser Payudara oleh Dr.Sudha dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Saya berseorangan ketika itu. Semasa berdepan dengan doktor, saya tiada reaksi. Tapi jelas di wajahnya rasa kesal untuk memberitahu saya berita itu. Beliau meminta saya untuk tenang dan terus berkata ianya boleh dirawat. Jangan takut. Jangan pergi jumpa bomoh. Mesti ikut rawatan hospital untuk sembuh.

Beliau memberikan saya 4 hari cuti sakit. Beliau menyuruh saya datang keesokkan harinya bersama mak untuk berbincang tarikh pembedahan. Saya cuma mampu memandang senarai panjang menunggu pembedahan di dinding bilik beliau. Ramai.

Saya pulang. Tetapi terus ke ofis. Dalam kereta baru menangis sepuasnya. Sampai di ofis, saya bagitau dua orang rakan sekerja yang rapat. Mereka pun turut menangis dengar berita tersebut.

Pulang dari kerja, saya bagitau mak. Mak diam. Tetapi tengah malam sewaktu saya tidur, saya dengar mak menangis. Sedih.

Tetapi itu 3 tahun yang dulu. Sehingga kini saya, keluarga dan rakan-rakan masih mampu ketawa bersama. Begitulah kehidupan. Tidak semestinya perlu sentiasa bergembira. Sesekali perlu bersedih. Muhasabah diri. Mencabar diri dan kehidupan.

My Blog Turned 2!

Assalamualaikum WBT.
Hari ini tahun ke-2 saya blogging. Dan ini adalah post pertama untuk tahun ni. Hai 2015! Agaknya lepas ni setahun sekali je kot update. Kikiki.

Semasa saya menaip untuk post ni, saya berada di Klinik Onkologi. Sementara menunggu giliran untuk chek up, saya merajinkanlah diri menaip.

Sebenarnya tarikh untuk check up lagi sebulan. Tapi saya terpaksa awalkan sebab rasa kesihatan agak sedikit terganggu. Saya pun mohonlah untuk diawalkan. Emosi pun agak terganggu kerana bimbang dengan kesihatan diri waktu ini. Macam-macam perkara yang bermain difikiran.

Untuk menghentikan semua ni, saya perlu berdepan dengan realiti. Jumpa doktor untuk pengesahan. Walaupun takut dengan hakikat yang negatif, i’ve to be realistic.

Semoga segalanya baik-baik sahaja. Dan segala yang saya fikirkan sekarang ni bukan satu kenyataan. Tapi lebih membimbangkan sekarang ni adalah berat yang semakin bertambah. Baru lepas timbang berat tadi. Haih.

Kepada rakan-rakan cancer survivor yang membaca blog ini, semoga terus tabah dalam mengharungi hari yang mendatang dan teruskan menjalani kehidupan dengan melakukan perkara yang natijahnya syurga insyaAllah.

image

Belog Satu Tawon!

image

Statistik viewer 14Mac2014

Alhamdulillah, dah setahun blog ni. Saya start dengan kisah pasal burger pada 14 Mac 2013. Sebab masa tu teragak-agak nak share kisah pengalaman sebagai cancer survivor. Malu letewww. Fikir balik, takyah malu kot. At least saya boleh rekod apa yang saya lalui sepanjang perjalanan melalui proses rawatan. Pastu boleh throwback cari semangat bila baca balik. Dahlah pemalas nak tulis diary.

Nak kata blog ni membantu pesakit cancer yang lain, saya tak pasti. Kebanyakkan yang view blog saya mencari maklumat “tanda-tanda kanser payudara”. Yup, bagus. Tapi saya hanya share pengalaman saya sahaja. Lain orang lain pengalamannya. Basically itulah tanda-tandanya. Yang penting, kalau ada tanda-tanda seperti yang saya ceritakan, please jangan takut untuk berjumpa doktor. Ataupun, kalau takde tanda-tanda tu tapi anda rasa cam “eh, entah-entah kanser”. Better confirmkan dengan doktor melalui ujian ultrasound, biopsy dan mamogram. Jangan takut berdepan dengan realiti.

Ingat, semua orang akan mati. Cuma masa dan caranya sahaja yang kita tak tahu. Kerja Allah semua tu. Kerja kita usaha, doa dan tawakal. Jangan tunggu. Tunggu apa pun saya tak tau. Tunggu kanser tu pergi? Memang taklah. Sebab semua orang ada sel. Cuma normal atau tak je.

Dikesempatan ini, saya ucapkan terima kasih kepada yang sudi view blog saya. Harap perkongsian saya memberi manfaat kepada anda.

Sekarang saya sangat sibuk dengan keje dan urusan rawatan ibu saya di hospital (termasuk menjoyahkan diri cari maklumat pasal MH370. #prayforMH370 dan pertembungan KJ vs bomoh. Menarik untuk disaksikan). Tak sempat saya nak share lebih banyak cerita. InsyaAllah, ada kesempatan saya nak berkongsi tentang pemakanan. Haih. Dari post sebelum-sebelum ni saya bagitau nak share.

Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Allah dan semoga ujian-ujian yang hadir dalam hidup kita ketika ini harapnya bukanlah kerana murka Allah terhadap kita tetapi kerana sayang Dia kepada hambaNya.

Ada Benarnya…

Disclaimer: Hanya perkongsian daripada Facebook. Tidak pasti siapa penulis sebenar. Sekadar tertarik dengan penulisannya yang ada benarnya.

Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Ada ijazah pun dah tak berguna.
Kerana zaman dah berubah.
Ramai yang mencari doktor di FB.
Ramai yang jadi Dr Google dan Dr FB.

Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Hanya diperlukan bila nak MC.
Nasihat tak pernah didengar.
Ubatan tak dimakan ikut peraturan.
Malah yang langsung tak makan ubat pun ada.
Takut nanti rosakkan buah pinggang.

Aku dan bosan jadi doktor bertauliah.
Sekarang wujud ubat2 ajaib dan ubat2 super.
Satu ubat untuk semua jenis penyakit.
Telan satu pil.
Semua penyakit boleh sembuh.
Ada ubat yang boleh merawat sistem badan.
Membetulkan mana2 yang rosak.
Membetulkan hingga sampai ke saraf tunjang.
Sel2 badan boleh ditukar menjadi seperti baru.
Seperti bayi baru dilahirkan.
Semua penyakit boleh hilang dari badan.
Darah tinggi boleh normal.
Kencing manis boleh sembuh.
Gout boleh sembuh.
Kanser pun boleh sembuh.

Aku dan bosan jadi doktor bertauliah.
Belajar ilmu perubatan 5 tahun dah tak berguna.
Sebab ilmu yang aku belajar,
sangat berbeza dengan ilmu perubatan sekarang.
Ilmu fisiologi dah tak betul.
Ilmu biokimia pun dah tak betul.
Ilmu farmakologi dah tak betul.
Ilmu patologi pun dah boleh buang ke longkang.
Ada garam bukit penawar semua penyakit.
Ada daun2 kering penawar semua penyakit.
Ada jus buah2an penawar semua penyakit.
Ada kopi penawar semua penyakit.
Ada juga mesin boleh buang toksin.
Ada juga air rendam kaki untuk buang racun.
Yang sakit jadi sihat.
Yang tua menjadi muda.
Dah tak payah pergi klinik.
Dah tak payah pergi hospital.
Dah tak payah jumpa doktor.
Minum aje ubat2 ajaib.
Telan aje pil2 kesihatan.
Duduk aje atas kerusi elektrik.
Rendam aje kaki dalam air.
Semua penyakit boleh hilang.
Itulah kehebatan ubat2 sekarang.

Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Pesakit2 sekarang lebih pandai daripada doktor.
Pesakit2 sekarang lebih percayakan kawan2.
Pesakit2 sekarang lebih percayakan ubat2 ajaib.
Pesakit2 sekarang lebih percayakan rawatan alternatif.
Pesakit2 sekarang lebih takut dengan ubat2 moden.
Ubat2 moden merosakkan buah pinggang.
Ubat2 moden tak boleh merawat kanser.
Ubat2 moden tidak menyembuhkan.
Ubat2 moden sekadar mengawal.
Imunisasi itu ciptaan Israel.
Imunisasi penyebab Autism.
Lebih baik makan ubat2 ajaib.
Kencing manis boleh sembuh.
Gout boleh sembuh.
Asthma boleh sembuh.
Kanser pun boleh sembuh.

Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Aku dah bosan memberi nasihat.
Aku dah bosan memberi penerangan.
Aku dah bosan menyuruh pesakit datang follow up.
Stok ubat sebulan boleh tahan sampai berbulan2.
Ubatan diberi sekadar jadi pameran.
Ramai pesakit2 aku yang degil2.
Paras gula naik sebab buatan orang.
Kena stroke sebab gangguan jin.
Berat badan susut sebab ada orang dengki.
Kena kanser pun sebab buatan orang?

Aku dah bosan jadi doktor bertauliah.
Kerana zaman dah semakin berubah.
Doktor dah semakin tak relevan.
Penyakit boleh digoogle di internet.
Kawan2 penasihat dah ramai di FB.
Ubat2 boleh dibeli difarmasi.
Ubat2 juga boleh dibeli online.
MC pun sekarang boleh dibeli online.

Aku tak faham.
Terutama dengan ubat2 MLM.
Terutama dengan agen2 MLM.
Kenapa mudah sangat percaya,
satu ubat yang boleh menyembuh segalanya.
Dengan modal testimoni beberapa orang,
habis dijajanya ubat2 mereka satu dunia.
Yang tua dipujuk untuk membelinya.
Yang muda diajak menjadi downlinenya.
Malah doktor juga cuba dikelentongnya.
Dulu pernah ada lampu ajaib berharga 5 ribu.
Yang boleh membersihkan udara.
Membunuh segala jenis kuman dan kekotoran.
Dulu pernah ada sebuku sabun berharga 150 ringgit .
Yang boleh menjadikan awet muda.
Dulu pernah ada tuala wanita.
Yang diperbuat daripada herba2.
Boleh menyerap racun dan mencegah kanser.
Juga boleh letak didahi jika demam.
Juga boleh diletak dilutut jika terkehel.

Dan ini yang terbaru.
Hablur garam dan gula.
Ada pesakit ajak aku join mereka.
Berminggu2 aku study dan google.
Ubat yang boleh bertindak hingga ke saraf tunjang?
Biar betul?
Kalaulah betul ubat ini wujud,
doktor dah tak payah kerja susah2.
Tutup sahaja semua klinik dan hospital.
Semua orang akan jadi sihat.
Tiada penyakit didunia ini.

Sebenarnya aku kasihan dengan mereka.
Sama ada yang menjual atau membelinya.
Mereka mudah sangat percaya.
Kepada benda2 karut.
Kesihatan diri diperjudikan.
Wang ringgit sanggup dihabiskan.
Tidakkah mereka tahu,
ubat2 moden perlu 15-20 tahun untuk dipasarkan?
Perlu ada clinical trial.
Perlu ada kajian saintifik.
Bukan setakat testimoni beberapa pak sanggup.
Bukan setakat cakap2 sesedap mulut.
Bukan setakat menggunakan istilah saintifik tanpa logik.

Aku dah bosan menjadi doktor bertauliah.
Aku dah nak bersara.
Aku dah nak balik kampung.
Membuka ladang kangkung.
Selamat tinggal.

Hye 2014 Bye 2013

Assalamualaikum… Hi, all!

Dah seminggu di tahun baru rupanya. Tahun baru mengikut kalendar Gregorian. Kalendar matahari. Tahun Hijrah dah selesai pun 1 Muharram yang lepas. Kalau tahun hijrah setiap awal bulan, tengah bulan dan akhir bulan disunatkan untuk berpuasa. Dapat pahala. Kalau tahun Masihi ni haa akhir bulan je yang best sebab dapat gaji. Hihihi…

Bila tanya pakcik google Gregorian ni kalendar Christian katanya. Tapi jangan sempitkan. Memangla sebaik-baiknya kita menggunakan kalendar bulan Islam. Tidak bermakna kita guna kalendar Masihi kita masuk Christian ye dak. Disebabkan penggunaan meluas di seluruh dunia, maka kita pun gunalah untuk memudahkan urusan seharian. Tidak menjejaskan iman selagi mana kita memelihara iman kita dengan baik. Tu baru bab kalendar. Belum isu-isu lain seperti takut dengan huruf T, simbol +, sensitiviti isu kalimah Allah dan pelbagai lagi yang dikaitkan dengan dakyah Kristianisasi.

Saya mengaitkan dengan isu ini kerana penutup tirai tahun 2013, saya terlibat dengan Majlis Mahabbah bersama Masyarakat Rohingya. Kenapa tetiba perlu bermahabbah? Sekian lama mereka tinggal kat sini saya pun tak pernah peduli saudara seislam. (Why bother? Why bother? Bak kata Azwan Ali) Ampuni aku Ya Allah. Alangkah teruknya saya ni. Dan sehinggalah dimaklumkan bahawa terdapat segelintir mereka ini menerima bantuan pendidikan daripada gereja. Anak-anak diberikan pendidikan percuma berserta pengangkutan dan makanan. Barulah saya dan team terhegeh-hegeh nak mencari tempat, guru, transport untuk menarik mereka keluar dari gereja. Nak tak nak terpaksalah tiru cara gereja berdakwah. Alhamdulillah, orang-orang Rohingya ni bersetuju untuk keluarkan anak mereka dari gereja tersebut. Keselesaan yang mereka dapat sebelum ini tidak mematahkan iman mereka.

 2013 meninggalkan kesan yang sangat besar dalam pengalaman hidup saya. Saya dan hospital bagaikan handphone dan charger. Alhamdulillah, pengalaman diuji dengan kesakitan membuatkan saya lebih menghargai hidup yang singkat ini. Walaupun tahun ni saya tak berkesempatan untuk travel tapi saya end up 2013 dengan hiking Bukit Broga. Sampai fobia nak makan sebab sayang kan kalori yang hilang di Broga. A lot of thanks to my friends.

Really enjoyce!!!

Image

yang ni baru 15 minit mendaki dah rest. 🙂

2014?

“Rancang dengan apa yang ada di tangan
Bukan yang kita angan-angankan
Kita membina cita dan harapan
Bukan mimpi dan igauan”