4 Disember 2012

Assalamualaikum WBT

Lama sungguh tidak menaip. Alhamdulillah, tarikh 4 Disember 2015 pada hari ini mengingatkan saya kepada tarikh saya didiagnos Kanser Payudara oleh Dr.Sudha dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Saya berseorangan ketika itu. Semasa berdepan dengan doktor, saya tiada reaksi. Tapi jelas di wajahnya rasa kesal untuk memberitahu saya berita itu. Beliau meminta saya untuk tenang dan terus berkata ianya boleh dirawat. Jangan takut. Jangan pergi jumpa bomoh. Mesti ikut rawatan hospital untuk sembuh.

Beliau memberikan saya 4 hari cuti sakit. Beliau menyuruh saya datang keesokkan harinya bersama mak untuk berbincang tarikh pembedahan. Saya cuma mampu memandang senarai panjang menunggu pembedahan di dinding bilik beliau. Ramai.

Saya pulang. Tetapi terus ke ofis. Dalam kereta baru menangis sepuasnya. Sampai di ofis, saya bagitau dua orang rakan sekerja yang rapat. Mereka pun turut menangis dengar berita tersebut.

Pulang dari kerja, saya bagitau mak. Mak diam. Tetapi tengah malam sewaktu saya tidur, saya dengar mak menangis. Sedih.

Tetapi itu 3 tahun yang dulu. Sehingga kini saya, keluarga dan rakan-rakan masih mampu ketawa bersama. Begitulah kehidupan. Tidak semestinya perlu sentiasa bergembira. Sesekali perlu bersedih. Muhasabah diri. Mencabar diri dan kehidupan.