Teman Seperjuangan

Assalamualaikum, hi all!!!

Semalam (30 Okt 2013)  saya baru saja melengkapkan rawatan radioterapi. Seronoknya!!! Tapi sebelum nak share kisah radioterapi, saya lebih teruja untuk bercerita kisah teman seperjuangan. Mereka-mereka ini super duper awesome!!! Saya berkenalan dengan mereka ketika menunggu giliran untuk membuat rawatan radioterapi. Oleh kerana masa menunggu adalah lama (sangat lama), saya berpeluang mengenali mereka-mereka ini. Thanks to longest waiting list.

Tiga orang teman seperjuangan yang baru dikenali sama-sama menghidapi Breast Cancer, manakala seorang lagi Kanser Servik, seorang lagi Kanser Endometrium (nampak tak statistik breast cancer lebih tinggi). Pelbagai kisah pengalaman dan ilmu yang dapat kami kongsikan. Alhamdulillah, saya anggap ini adalah satu anugerah daripada Allah kerana dapat mengenali mereka-mereka ini. Apa yang saya perhatikan, mereka semua bersikap positif dan optimis untuk berusaha sembuh dengan segala usaha yang dilakukan. Dan tentu sekali kita kena berserah kepada hanya Allah yang Maha Berkuasa untuk menyembuhkan.

Antara ilmu yang saya dapat adalah, walaupun kami didiagnos Breast Cancer, tapi ciri patologi adalah berbeza seterusnya menjalani rawatan dengan cara berbeza. Ada yang perlu kemoterapi yang agak kuat dan memerlukan hanya 15 kali radioterapi dan ada yang perlu menjalani pembedahan dan menerima 30 kali radioterapi tanpa kemoterapi! Berbeza-beza kan. Nampok samo tapi buke dio. Yela, sedangkan cap jari kita pun berbeza setiap individu. Begitu jugalah sistem badan kita.

Saya rasa seronok setiap kali nak pergi hospital untuk dapatkan rawatan. Walaupun mengharungi 3 highways (means 6 kali toll return = RM53 per week), minyak average RM100 per week! untuk sampai ke hospital, tapi ianya berbaloi-baloi bila berjumpa dengan teman-teman seperjuangan ni. Ada yang berkongsi tentang petua pemakanan, ada yang berkongsi tentang supplement, ada yang berkongsi tentang buku, ada yang berkongsi kat mana tempah jubah cantek (haha.. haruslah!), dan ada yang berkongsi tanaman herba.

Mungkin inilah hikmah sakit. Semoga kita bertemu dan berpisah kerana Allah. Buat Kak Ani, Cikgu Rozi, Kak Siti, Kak Pah dan Kak Rozi (dia ni lawak abes!) semoga Allah memberikan keberkatan dan redhaNya dalam kehidupan kita dan terus memberikan kekuatan iman, fizikal dan mental dalam mengharungi setiap ujian yang mendatang.

Love you all 🙂

Tanda Awal Kanser Payudara

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bersempena dengan Kempen Kesedaran Kanser Payudara pada setiap bulan Oktober setiap tahun,  saya berasa seolah-olah terpanggil juga untuk sama-sama berkempen melalui blog saya ni. Justeru itu, marilah semua kaum hawa mengenal pasti tanda-tanda awal kanser payudara supaya sekiranya ada tanda-tanda tersebut pada anda, bolehlah kita bertindak segera untuk mendapatkan pengesahan dan rawatan. Sekiranya tiada, Alhamdulillah.. Semoga berterusan diberikan kesihatan yang baik. Kalau ada mungkin akan menjadi Tragedi Oktober la gamaknya.

Sebenarnya banyak maklumat tentang tanda-tanda awal kanser ini yang boleh didapati dengan mudah. Tapi saya share sekali lagi kepada anda semua tanda-tanda umum kanser ini. Antara tanda-tanda yang boleh dikesan adalah seperti berikut:-

1. Perubahan rasa di payudara atau puting

2. Ketulan atau perubahan ketebalan di payudara atau bawah ketiak

3. Puting payudara yang terasa tegang dan sakit

4. Perubahan dilihat pada payudara atau puting

5. Perubahan saiz dan bentuk payudara

6. Puting payudara terperosok ke dalam

7. Permukaan kulit payudara, sekeliling puting, atau puting bersisik, merah atau bengkak. Permukaan kulit boleh kasar atau berliang seolah-olah seperti permukaan oren

Seorang surgeon memberitahu bahawa penghidap kanser payudara adalah bertuah kerana kanser ini mampu dikesan lebih awal dan mudah kerana ianya adalah anggota luar badan dan bukan organ dalaman. Jika lain-lain kanser seperti kanser serviks atau paru-paru biasanya hanya dapat dikesan pada tahap 3 atau tahap 4.

Baru-baru ini saya menonton sebuah rancangan di televisyen (bukan menonton wayang ye. ok, tak lawak pun). Doktor yang menjadi tetamu dalam rancangan tersebut memberitahu bahawa ketulan di payudara adalah sama dengan merasai bebola mata anda yang dipejam. Begitulah rasanya ketulan tersebut. Yes, exactly the same. I’ve experienced that.

Saya sebenarnya malu nak share pengalaman bagaimana saya boleh mengesan kanser tersebut kerana… Ok takpe. Since saya dah bertemu ramai orang dan soalan paling popular adalah “Macam mana boleh detect?”, “Macam mana tau?” , so saya akan share lah.

Kita sebagai hamba Allah bertuah kerana dikurniakan naluri lebih-lebih lagi sebagai perempuan. Six sense memang tinggi, Betul tak? Ok, saya juga sebelum ni tak pernah pun nak buat Breast Self Examination. Tetapi Allah Maha Besar. Allah hadirkan insan-insan disekeliling saya yang menyedarkan saya. Seorang rakan ofis dan  seorang rakan serumah saya mempunyai ketulan di payudara. Seorang lagi di ketiak. Mereka pergi mendapatkan rawatan di hospital dan juga rawatan complementary. Syukur Alhamdulillah. Ketulan mereka berdua bukan kanser.

Dari situ tercetusnya idea (cam tak sesuai ayat tuh) untuk saya periksa sendiri my breast. Ada beberapa teknik yang formal. Boleh google. Tapi saya cuma periksa sewaktu sabun semasa mandi. Ya Allah. Memang ada. Kecik je (Mei 2012). Saya pergi ke hospital tetapi doktor tak dapat kesan (tanpa membuat ultrasound pun). So, saya pun happy la.  Tetapi ketulan tersebut semakin membesar. Sekeliling nipple mula rasa tak selesa dan gatal. Saya masih biarkan. Saya beranggapan mungkin terkena bakteria. Sehinggalah keluar cecair. Barulah rasa takut (Oktober 2012).

Sepanjang Mei 2012 hingga Oktober 2012 merupakan tempoh masa yang panjang. Sel-sel kanser berganda dengan sangat pantas. Saya dapat panggilan telefon daripada syarikat insurans yang menawarkan perlindungan khusus untuk kanser (macam mana insurance company  ni boleh detect dulu?). Oh, ini satu lagi petanda.  Saya pun pergi hospital as outpatient dan kemudian dirujuk ke Pakar Bedah dan di sana doktor memberitahu saya perlu mebuat biopsy.  Temujanji untuk melakukan biopsy mengambil masa. Sebab saya kene pergi ke hospital besar untuk membuat ultrasound terlebih dahulu (ok, amek masa lagi Nov 2012).

Saya masih lagi keep calm and relax. Yela, kanser mana ada rasa sakit. Tak rasa apa-apa pun. Saya pun pergi untuk ultrasound dan di sana doktor dah mula suspicious. Saya semakin berdebar. Saya terus dirujuk untuk membuat biopsy pada hari yang sama. Oleh kerana dah tak boleh relax saya bersetuju. Dan akhirnya hasil biopsy, saya didiagnos Breast Cancer Stage 2 pada awal Disember 2012 seterusnya menjalani pembedahan pada Januari 2013.

Kes saya mengambil masa yang sangat panjang. Walaupun ada sedikit kesal dengan tindakan lambat yang saya ambil, saya optimis dan positifkan diri yang semuanya akan baik-baik sahaja dengan izin Allah. Kepada mereka yang disahkan menghidap kanser payudara janganlah contohi kisah saya. Bertindak segera. Sekiranya anda tahu bagaimana pantasnya sel-sel ini berganda, anda tidak akan berlengah.