Chemotherapy : Third Cycle

Alhamdulillah dah selesai menjalani kemoterapi untuk kali ketiga (16 April 2013). Minggu kurang hujan sekali lagi. Mencabar sungguh. Bukan hanya ketahanan fizikal dan mental, tetapi ketahanan iman juga. Sebagai manusia biasa, cuba mempertahankan untuk tidak mengeluh. Tetapi kadang-kala terlepas juga keluhan itu. AstaghfirullahalAzim.. :”(

Kemo kali ini menyaksikan salur darah semakin mengecil dan keras. Susah untuk cucuk jarum (kali ni bukan sebab tangan gemok ok). Saya berterima kasih kepada nurse yang sedaya upaya mengesan salur darah saya. Selepas ini saya perlu buat exercise kepada tangan saya supaya next kemo lebih mudah lagi.

Effect kemo kali ni adalah malas nak menaip kat blog. Lol. Haih. Sebab sedang rajin baca komen-komen politik yang sometimes cheers up my day!. Hahaha.. Macam-macam perilaku manusia yang bersembang mengenai iklim politik Malaysia. Yela  5 tahun sekali. Cam nak tunggu komet halley melintas (76 tahun sekali!). Masing-masing tak kira parti mana  pun, rakyat Malaysia kat dalam dan luar negara pun sedang membahaskan ke arah Malaysia yang lebih baik. Bermakna semua rakyat Malaysia sayang Malaysia. Sebab tu semua orang concern. Ye dak.

Apapun, saya baru je selesai membeli baju secara on-line, special untuk pergi mengundi. Cam nak raya kan. 🙂 Semangat ni ha!!

Sebenarnya kesan selepas kemo masih sama seperti yang lepas-lepas. Cuma berbeza kehendak daripada anak tekak je. So, sekarang lebih fokus untuk membesarkan salur darah supaya mudah nurse nak cucuk jarum.  Next kemo kali ke-4 selepas PRU.  Cepatnya cycle yang baruKayuh basikal pun tak laju camni.

Semoga Allah permudahkan urusan rawatan seterusnya. Ameen…

Cuti Sakit

Alhamdulillah, cuti sakit saya telah diluluskan. Terima kasih kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia tempat saya bekerja :). Bagi mereka yang berkhidmat di sektor awam atau Badan Berkanun peruntukan cuti sakit yang diberikan saya kira cukup menjaga kebajikan kakitangan.  Bagi pesakit kanser, peruntukan cuti yang layak adalah selama 2 tahun. Tetapi saya tidaklah ambil sehingga 2 tahun. Hanya 6 bulan sahaja bagi membolehkan saya menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi. Lagi 1 tahun setengah perlu simpan untuk masa hadapan. Manalah tahu…… Ye, perancangan Allah lebih baik.

Kepada pesakit kanser yang berkhidmat di sektor swasta, saya percaya majikan dapat memahami situasi anda. Doktor juga akan membantu anda untuk berurusan dengan pihak HR tempat anda bekerja. Apabila berbicara tentang kanser, persoalan mati pasti terlintas. Berapa lama ye boleh hidup? Pada saat mereka yang tahu mengenai saya dan kanser, ada juga yang menyimpulkan yang saya akan berhenti kerja. Terkilan. Saya faham. Masyarakat akan memahami bahawa kanser dan kematian adalah signifikan. Lagipun kanser adalah antara penyakit yang paling top dikaitkan dengan kematian sehingga dijadikan sebab untuk membunuh watak dalam drama atau filem.

Saya suka kerja. Sebab itu saya positifkan diri bahawa saya akan kembali bekerja. Lebih-lebih lagi saya berkhidmat kepada masyarakat. Kalau ikutkan semangat bekerja yang tinggi, saya boleh bekerja pada minggu kedua dan ketiga selepas kemoterapi. Tetapi saya mengambil peluang menggunakan cuti yang ada untuk saya memastikan kesihatan saya di tahap yang baik. Seterusnya, insyaAllah saya dapat kembali bekerja pada 31 Ogos 2013 (public holiday kot. So, start 1 September 2013). Bersempena Hari Kemerdekaan negara pada tarikh itu, saya berharap saya akan bebas dari kanser (hanya jika Allah izinkan). Mohon doakan :).

Semasa menjalani proses cuti yang panjang ketika ini, inilah hasilnya. Blogging! Dorongan kawan-kawan juga ni. Ada yang kata blogging adalah satu terapi diri. Saya blogging kerana nak merakamkan sesuatu dalam menjalani kehidupan sebagai cancer survivor (nak tulis diari malas!). Walaupun tidak semua entry berkisar tentang kanser, saya berharap setiap perkongsian ini adalah bermanfaat dan saya berharap saya berpeluang membaca kembali setiap entry untuk masa akan datang insyaAllah.

Selain blogging, saya memasak, basuh kain, kemas rumah, jogging (yang ni kadang-kadang je 😉 ) dan menekan info berkali-kali di remote Astro. Semua perkara ni dibuat selepas minggu kedua dan ketiga cycle kemoterapi. Minggu pertama cycle kemo memang melepak je (tak larat).

Kepada yang sakit, bercutilah anda kerana Cuti Sakit diberi untuk merehatkan diri dan memulihkan kembali kesihatan supaya boleh kembali bekerja dengan sihat. Yang tak sakit jangan pula pergi beli MC. Sakitlah dengan jujur dan hormatilah Cuti Sakit.

Sila jaga kesihatan diri dan keluarga anda 🙂

Merayakan Pilihan

Apabila menyebut tentang merayakan, ia adalah sesuatu yang bersifat menggembirakan dan menyeronokkan kerana ianya bermaksud kita meraikan sesuatu. Seperti contoh meraikan Hari Raya. Entry kali ini adalah berkenaan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 bagi Malaysia. Teruja! Sebab pertama kali bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi (mudah-mudahan bertenaga untuk keluar mengundi dalam keadaan masih menerima rawatan kemoterapi). Ya, ianya adalah tanggungjawab. Tanggungjawab memilih kepimpinan yang baik dari segenap sudut. Kita dipupuk dengan sistem demokrasi sejak di bangku sekolah lagi. Ketua kelas dipilih secara undian. Calon-calon yang dilihat layak akan diundi oleh rakan sekelas (mungkin juga mengundi calon yang merupakan kawan baik).

Suasana menjelang PRU adalah meriah. Pesta bendera. Biru hijau biru hijau je mata ni. Bukan apa, tengok langit dan pokok-pokok :). Seharusnya apabila pilihan telah kita buat, maka kita akan meraikan pilihan itu dengan mengundi bagi memastikan pilihan kita menang. Apabila menang, raikan sekali lagi kemenangan (suka sangat!). Sekiranya tewas, kita perlu terima dengan hari terbuka kerana Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen berkat jajahan British dahulu.

Sewaktu Yang Berhormat PM kita untuk semua (lagu ND Lala) mengumumkan pembubaran Parlimen pelbagai reaksi masyarakat dapat dilihat. Kegembiraan yang terpancar umpama Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja mengumumkan tarikh Hari Raya Aidilfitri. Kini tibalah masanya parti-parti politik menggerakkan jentera-jentera untuk berkempen meraih undi. Masa inilah rakyat akan berkuasa. Dipujuk, dirayu, dipengaruh, dijanjikan, diberikan, ditipu, Eh? bahkan mungkin dihipnosis! (apakah?). Dan waktu inilah juga rakyat perlu menimbangkan pilihan-pilihan yang ada.

saya mesti pilih!

saya mesti pilih!

Antara pertimbangan yang boleh dibuat adalah dengan merujuk kepada Manifesto oleh parti politik yang bertanding. Umum sudah mengetahui Manifesto Barisan Nasional yang telah dibentang dan disiarkan oleh saluran-saluran tv dan akhbar-akhbar. Manakala Manifesto Pakatan Rakyat, rakyat marhaen (macam Maher Zain lak) bolehla mendapatkannya melalui kemudahan internet dan media cetak (yang takde internet?). Yang ini kena usaha lebih sikit jangan nak spoonfeed :). Kemudian buatlah analisa dan perbandingan. Mana yang lebih mendatangkan kebaikan kepada kita, kita pilihla. Jangan kerana asyik bersyukur dengan pengalaman lalu kita mengenepikan hak untuk mendapatkan sesuatu yang lebih bagus (saya sangat berhati-hati dalam membuat penyataan ini. Nak nampak neutral la kunun). Syukur juga perlu berterusan kerana nikmat Allah tidak pernah berhenti.

share daripada FB Ustaz Dr. Zahazan

share daripada FB Ustaz Dr. Zahazan

Manifesto Bebas pula jangan dilupakan. Tetapi melihat senario mereka yang Bebas pada penggal lalu macam tak berapa Bebas je. Bagi saya mereka yang Bebas hanya pada nama tetapi tidak dizahirkan pada perbuatan hanyalah rugi untuk diundi. Tapi mereka punya hak juga. Terpulang dan Pulanglah seperti lagu Aisyah di Hari Raya (dengar cerita Aisyah bertanding).

Selain Manifesto, kredibiliti calon juga sangat penting untuk diambil kira dalam proses pemilihan. Tak kenal maka tak cinta. Tak cinta maka benci. Oleh itu, marilah kita stalker bakal-bakal pemimpin kita ni.

Sekian sahaja pandangan saya mengenai perayaan yang bakal kita hadapi nanti. Marilah merayakan pilihan kita sewajarnya. Setiap orang ada hak memilih dan tepuk dada tanya iman 🙂 Selamat mengundi rakyat Malaysia! Kepada yang atas pagar, tak nak mengundi, tak kisah, anda adalah pelik.

Kartun BR Pilihanraya ke 13

Cancer Racist?

Amboi tajuk! Boleh mengundang sensitiviti dalam Malaysia yang berbilang kaum, majmuk, pelbagai budaya dan adat resam, pelbagai fahaman agama, dan bermacam-macam jenis ideologi politik. This is Malaysia. Masih harmoni bila berdepan dengan kaum yang berbeza. Yang kutuk-kutuk kaum lain sila cermin diri. Kita semua hamba Allah.

Apa-apa pun yang penting, kita masih boleh berkomunikasi dengan baik. Yang penting, masih boleh beli paku kat kedai hardware Cina. Yang penting, masih boleh pinjam tangga Uncle Raju jiran sebelah untuk naik bumbung betulkan piring Astro (piring Astro kat umah kene betulkan setahun sekali. Beralih arah ikut monsun angin. Betulkan arah kiblat kemain liat lagi).

Berbalik kepada tajuk. Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke Onkologi Klinikal (onkologi adalah merupakan satu cabang bidang kajian perubatan mengenai kanser dan rawatannya), perkara pertama yang saya nampak adalah pesakit bersama waghih-waghih eh. “Uish, ramainya Cina!! Kanser ni serang orang Cina je ke? Ooo.. Mungkin sebab diorang ni amalkan makan masakan panas-panas agaknya” (pandai-pandai buat hipotesis dan kajian dalam otak sendiri). Ada sedikit kaum India juga.

Mungkin kalau saya duduk Korea Selatan, saya akan cakap ramainya orang Korea kena sakit kanser. Dah tentu-tentu Korea Selatan not multi racial. Sebenarnya bukan masyarakat Cina yang ramai dapat penyakit ini. Cumanya kesedaran mereka tentang penyakit kanser ini lebih tinggi berbanding yang lain. Maksud saya, kesedaran untuk mendapatkan rawatan di hospital. Berbanding dengan masyarakat Melayu (sekadar pemerhatian biasa dan pengalaman kenalan yang menghidap penyakit ini), mereka lebih cenderung untuk mengambil rawatan alternatif. So, maklumat dan data mereka tidak dapat direkodkan untuk dijadikan statistik.

Memandangkan sesi kemoterapi agak lama, 2 jam setengah, peluang ini akan diambil untuk berbual-bual dengan rakan seperjuangan yang lain (nak tengok tv pun tak best sebab diorang pakai antena dalam je. RTM je la jadi pilihan. Boring). Walaupun mereka lebih berusia, (Ehem ada yang ingat saya masih belajar lagi. Nampak tak keremajaannya di situ 😉 ), perbualan kami tidaklah seperti makcik-makcik yang berkumpul kat lori ikan. Perkongsian lebih terarah kepada penjagaan kesihatan semestinya. (kadang-kadang tertido :-D).  Daripada perkongsian ini, saya tahu yang masyarakat Cina turut mengamalkan rawatan sampingan sama seperti masyarakat Melayu yang mendapatkan rawatan alternatif. Tetapi mereka tidak meninggalkan rawatan konvensional.

Pada pendapat saya, tidak salah untuk pesakit kanser mendapatkan rawatan alternatif, tetapi perlulah juga mengiktiraf rawatan di hospital memandangkan kajian telah membuktikan keberkesanannya. Setiap individu mempunyai fisiologi berbeza dan unik. Setelah doktor mengkaji barulah rawatan yang sesuai diberikan kepada kita (selain medical report penting untuk claim insurans).  Jangan terlewat! (typical MalayLast minute!). Allah pun suruh kita berusaha sebaik mungkin sebelum bertawakal. Bukan hanya menunggu Malaikat Izrail datang mencabut nyawa. 

Kesimpulannya, kanser bukan racist. Tak kira sekolah rendah kat mana pun. Tak kira parti apa pun (mood PRU13 time ni).

Chemotherapy : 2nd Cycle

Alhamdulillah, saya telah menjalani kemoterapi kali kedua pada 26 Mac lalu. Sekarang ni tengah musim panas. Agak mencabar juga melalui kemoterapi kali kedua ni. Untuk minggu pertama air kosong memang tak boleh nak terima. Mulut rasa lain macam. Masuk je air kosong dalam mulut mesti rasa nak muntah. Sedangkan waktu cuaca panas ni la kene minum banyak air kosong untuk elakkan dehidrasi.

hausnya..

hausnya..

Pergaduhan saya dengan air kosong ni sangat menguji kesabaran. Sampai nak kumur-kumur pun payah. Sehingga terfikir waktu ambil wudhuk nak kumur-kumur air sirap je. Waktu gosok gigi rasa macam nak kumur-kumur air sarsi. Huhu. Nasib baikla kumur-kumur semasa wudhuk adalah sunat. Tapi nak tak nak kene curi-curi juga berkumur dengan air paip sikit-sikit (cam pengotor sangat rasanya mulut saya time ni. Phewww..). Pendek kata, (sapa pendek yang berkata ni) hanya air yang berperisa dan berperasaan je yang saya boleh terima.

Pernah dalam satu hari tu, saya minum 3 gelas air bandung. Hari-hari lain saya akan minum air bena (nama manja ribena), air barli, air bancuhan madu dan limau, sesekali mengambil milo, dan juga 100 plus. Jenuh juga nak minum 100 plus ni sebab ianya bergas. Terpaksa tuang dalam gelas dan tunggu sehingga 1 hingga 2 jam bagi membiarkan gas karbornat itu hilang. Perit rasanya telan air gas semasa kemo ni.

oh air kosong!

Minuman berais? Oh, tidak! Sangat indah untuk diperhatikan. Gelas yang terkondensasi itu memberi seribu nikmat kepada mata. Tetapi tidak kepada kepala saya. Sangat sakit kepala saya waktu mengalirkan air madu limau berais ke tekak yang haus ini. Untuk kemo kali ni saya tidak dapat menikmati air berais. Tapi semua ini hanyalah pada minggu pertama je. Masuk minggu kedua, Alhamdulillah semuanya ok! 🙂

Keadaan mulut waktu ini istilahnya dipanggil berlogam. Tak taula regim kemo ni mengandungi logam agaknya. Kalau nak try rasa mulut berlogam ni bolehla kot try kunyah besi. Huhu.